PETALING JAYA – Meluahkan rasa tidak puas hati, pelakon Rozita Che Wan menyelar penyebaran berita berhubung pelawak lelaki yang ditahan akibat penyalahgunaan dadah.
Kata Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 51, perkara tersebut tidak perlu disebarkan melainkan untuk pengetahuan pihak berkuasa sahaja.
“Penting sangat ke nak sebar aib orang macam ini?
“Kenyataan ini cuma untuk pengetahuan polis je kot,” katanya dalam sebuah ruangan komen.
Bagaimanapun, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan kenyataan pelakon drama Kiah Pekasam itu.
“Penting sebab dia selebriti, banyak peminat. Takut nanti ramai yang jadi penagih bila berkawan dengan orang macam ini,” kata netizen.
“Ramai lagi orang tak faham antara aib dan jenayah,” ujar pengikut.
“Wah, orang biasa boleh tak mungkin selebriti tidak boleh (sebarkan),” tutur netizen lain.
Sebelum ini, seorang selebriti lelaki dilaporkan ditahan bersama dedaun kering disyaki ganja seberat 60.3 gram di sebuah rumah teres di Cyberjaya.
Dia ditahan selepas sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC), namun tidak mempunyai sabitan rekod lampau. -KOSMO! ONLINE