KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,547 permohonan di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti diluluskan sehingga 12 Disember lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kelulusan itu melibatkan peruntukan berjumlah RM590 juta berbanding sasaran peruntukan RM1 bilion yang disediakan dalam Belanjawan 2024.
“Sehingga 12 Disember2024, sebanyak 16,884 permohonan telah diterima. Jawatankuasa Pemilihan dan Kelulusan (JPK) di peringkat negeri telah meneliti dan mempertimbangkan sebanyak 8,923 permohonan.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 6,547 permohonan telah diluluskan melibatkan peruntukan berjumlah RM590 juta,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Manolan Mohamad berhubung jumlah permohonan SejaTi Madani melalui Dana Komuniti Madani mengikut negeri dan jumlah permohonan yang sedang diproses serta telah diluluskan.
Zaliha berkata, Sarawak mencatatkan jumlah peruntukan tertinggi iaitu RM100 juta dengan 1,124 permohonan diluluskan, diikuti Johor dengan nilai geran sebanyak RM69.58 juta untuk 742 permohonan.
Menurut beliau, negeri-negeri lain seperti Perak, Terengganu dan Kelantan turut menerima peruntukan signifikan dalam usaha pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat.
“Bagi masyarakat Orang Asli, sebanyak 111 permohonan diterima. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 52 permohonan yang mematuhi syarat diluluskan melibatkan peruntukan berjumlah RM5.2 juta.
“Perak mencatat jumlah tertinggi permohonan diluluskan untuk masyarakat Orang Asli iaitu 28 permohonan dengan peruntukan RM2.8 juta, diikuti Johor dengan 11 permohonan bernilai RM1.1 juta dan Pahang dengan tujuh permohonan bernilai RM7 juta,” katanya.
Jelas beliau, permohonan dana SejaTi Madani adalah percuma dan terbuka kepada komuniti yang layak, tiada sebarang caj atau fi dikenakan dan kerajaan tidak melantik mana-mana ejen untuk menguruskan permohonan tersebut.
Justeru, katanya, komuniti dinasihatkan untuk merujuk garis panduan dengan teliti sebelum mengemukakan permohonan bagi memastikan kelayakan dan pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan.
Tambah beliau, orang ramai yang ingin memohon juga digalakkan berurusan terus dengan Pejabat Pembangunan Negeri yang paling hampir dengan lokasi komuniti mereka.
“Program SejaTi Madani akan diteruskan tahun hadapan dengan jenama Ikhtiar Sejati Madani sebagaimana yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2025 dengan peruntukan RM600 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE