KAJANG – Eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia meningkat RM12.5 bilion kepada RM99.3 bilion setakat November tahun ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bagi tempoh Januari hingga November lalu, India kekal sebagai pasaran terbesar bagi minyak sawit Malaysia.
“Oleh kerana komoditi ini sangat penting kepada negara, sudah tentu kena pastikan propaganda yang dimainkan terhadap kelapa sawit ditangani,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2024 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Johari berkata, Malaysia dan Thailand akan meningkatkan kerjasama untuk memastikan kemampanan dalam industri getah.
Menurutnya, jumlah import getah Malaysia dari Thailand bagi tempoh setahun adalah AS$950 (RM4.4 bilion), sementara jumlah eksport negara hanya AS$105 juta (RM467 juta)
“Banyak produk getah kita import tetapi kita eksport balik ke luar negara. Sebab itu, kedua-dua negara ini mesti ada kemampanan (produk dan industri getah). Kalau dia mampan, maka Malaysia dan Thailand akan dapat manfaatnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE