HANOI – Seorang lelaki tidak sengaja melanggar bekas teman wanitanya dengan kereta, menyebabkan mangsa patah tulang paha dalam kejadian di Vietnam, lapor portal berita VNExpress semalam.
Kejadian berlaku malam kelmarin di daerah Chau Duc selepas lelaki itu diugut tiga lelaki lain yang menjerit dan kelihatan bersedia untuk menyerangnya di luar sebuah karaoke.
Ketika ketegangan meruncing, mangsa yang merupakan bekas teman wanita lelaki itu cuba masuk campur tetapi dia ditarik ke tepi.
Dalam cubaan untuk melarikan diri, lelaki itu masuk ke dalam kereta dan mengundurkan kenderaannya. Ketika itu, dia tidak sengaja melanggar mangsa dan menyeretnya.
Namun, seorang individu mengetuk cermin kereta dan menggesa pemandu itu supaya berhenti.
Mangsa kini menerima rawatan di sebuah hospital tempatan.
Polis mendedahkan bahawa konflik itu berpunca daripada perasaan cemburu membabitkan teman lelaki baharu dan bekas teman lelaki wanita itu.
Kes itu sedang disiasat oleh polis. – AGENSI