TIGA kejohanan utama sepanjang tahun depan bakal menjadi penilaian awal buat pengendali baharu skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain.
Selain berperanan untuk membentuk pemain muda, Nafuzi dijadualkan memimpin pasukan pada tugasan penting sepanjang 2025 iaitu Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA Thailand 2025.
“Dengan kehadiran Nafuzi, pastinya tugasan penting skuad B-23 kebangsaan pada tahun 2025 untuk kembali bangkit pada kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA Thailand 2025.
“Kredibiliti Nafuzi yang berusia 46 tahun ditagih dalam usaha memperkasakan semula skuad B-23 kebangsaan yang kebelakangan ini kelihatan kurang menyinar di pentas antarabangsa,” menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.
Rekod dan pengalaman Nafuzi dalam mengendalikan pasukan bawah umur begitu ditagih untuk menguruskan ‘kilang ubi muda’ sekali gus mampu meneruskan kelangsungan membekalkan pemain berkualiti kepada skuad senior.
“Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain dilantik menjawat jawatan ini bagi memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 kebangsaan yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk ke skuad senior kebangsaan,” katanya.
Untuk rekod, Nafuzi pernah membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden sebanyak tiga kali sebagai penolong ketua jurulatih pada 2011 dan 2013 serta ketua jurulatih pada 2015.
Seterusnya, Nafuzi melatih skuad Piala Presiden T-Team FC muncul naib juara edisi 2016 dan kemudian dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Terengganu FC (2017-2019) sebelum meraih pelbagai kejayaan bersama pasukan itu sepanjang berkhidmat dari 2020 hingga 2022.
Selepas bergelar Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022, Nafuzi berhijrah menjadi ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC pada 2023 dan 2024.