KUALA LUMPUR – Empat aktivis haiwan memfailkan saman pemula terhadap Majlis Daerah Besut (MDB) dan Kerajaan Negeri Terengganu untuk memohon deklarasi bahawa pembunuhan anjing diberi nama ‘Kopi’ melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Keempat-empat plaintif memfailkan saman pemula itu di Mahkamah Tinggi Terengganu
menerusi Tetuan Raj & Sac pada 10 Disember lalu dengan menamakan MDB dan Kerajaan Negeri Terengganu sebagai defendan.
Empat plaintif itu ialah Dr. Kartini Farah Abd. Rahim, S. Mukunnan, Hong Hai San serta Pengerusi Persatuan Penjagaan Anjing dan Kucing Liar, S. Sashi Kumar.
Berdasarkan saman yang difailkan mereka juga memohon satu deklarasi bahawa tindakan menembak anjing itu dengan menggunakan senjata api adalah melanggar Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015.
Selain itu, keempat-empat juga mahu satu deklarasi bahawa penembakan haiwan di bawah Seksyen 30 (2) AWA2015 adalah dilarang.
Hal ini kata mereka, Seksyen 30 (1) AWA 2015 jelas memperuntukkan bahawa penembakan menggunakan senjata api terhadap mana-mana anjing, kucing atau haiwan lain adalah tidak dibenarkan.
“Ia melainkan dibenarkan oleh pihak berkuasa veterinar dalam situasi kecemasan atau untuk tujuan kawalan penyakit sahaja.
“Kami mohon suatu deklarasi bahawa Seksyen 9(1) dan (2) Undang-Undang Kecil Lesen Anjing (Majlis Daerah Besut) 1990 melanggar Seksyen 29 (e) dan Seksyen 30 (1) AWA 2015,” kata saman pemula difailkan oleh Tetuan Raj & Sac pada 10 Disember lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan Tarikh 15 Januari 2025 untuk pendengara di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.
Sebelum ini, kisah anjing ‘Kopi’ itu mendapat perhatian orang ramai termasuk pencinta haiwan apabila anjing liar itu dipercayai ditembak sekali gus disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Melalui Akaun Facebook My Forever Doggo (MFD) berkongsi hantaran video berdurasi 52 saat yang memaparkan anjing liar itu mati akibat kecederaan serius.
Menurut hantaran itu, kejadian itu disedari seorang penduduk di taman perumahan terbabit selepas terdengar bunyi tembakan kuat.
MDB sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan diambil terhadap anjing liar itu mengikut prosedur lapangan, namun menafikan dakwaan bahawa haiwan itu dibiarkan setelah ia mati
Malah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen menempelak pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana melakukan apa yang disifatkannya sebagai ‘pembunuhan sewenang-wenang’ terhadap haiwan terbiar. – KOSMO! ONLINE