KOTA BHARU – Seorang pemilik kedai runcit berdepan detik cemas selepas disamun lelaki bersenjatakan sepucuk pistol ketika berada di premisnya di Kampung Permatang Pusu di sini minggu lalu.
Kejadian berlaku pada pukul 10 malam, 9 Disember lalu sewaktu mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an berada di kaunter juruwang.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 12 tengah malam, 10 Disember lalu.
Siasatan awal mendapati, mangsa didatangi suspek yang mengacukan objek menyerupai pistol sebelum dminta menyerahkan wang.
“Berdasarkan loghat pertuturan, suspek dipercayai warga tempatan berusia dalam lingkungan awal 40-an, berbadan kurus dan berketinggian 1.5 meter,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Rabiatul Nabilah Rebinor di talian 09-775 2200. – KOSMO! ONLINE