PETALING JAYA – Seorang suami terkejut dan cuak apabila tudung isteri yang berharga RM1,100 berlubang akibat digosok dengan seterika pada suhu tinggi.
Dalam hantaran TikTok oleh Aqil Feehily, dia menunjukkan lubang pada tudung jenama terkenal berwarna hitam milik isterinya yang lengkap dengan manik, dipercayai terkoyak akibat terbakar ketika digosok.
Dia turut merakam reaksinya yang panik sambil meminta pengguna media sosial memberi cadangan bagaimana cara untuk memberitahu kepada isterinya.
Hantaran yang ditonton oleh lebih satu juta orang itu dibanjiri dengan 1,784 komen, yang menawarkan pelbagai idea untuk membantu lelaki terbabit, selain ada yang sekadar mengusik.
“Bang, kalau mampu beli bawal RM1,100, tambah sikit je lagi untuk beli penggosok jenama Philips. Tentu tak hangus,” ujar Jaida Najihah.
“Bakar terus bang. Hapuskan bukti terus,” komen Wan Hadi.
“Beli tudung hitam kosong dan pindahkan batu itu. Batu yang mahal sebenarnya,” kata Sufi.
“Pergi buang cepat, jangan bagitahu. Nanti waktu raya minta maaf,” tulis Rina Zainal. – KOSMO! ONLINE