LONDON – Impian Andy Murray untuk memburu gelaran Grand Slam ke sepuluh tampak samar apabila dia disahkan positif Covid-19 kelmarin sekali gus bakal terlepas untuk beraksi pada Terbuka Australia yang membuka tirai pada Februari depan.
Bekas pemain tenis ranking No.1 dunia tersebut terpaksa menangguhkan sementara untuk berlepas ke Melbourne, Australia apabila dia diarahkan untuk menjalani proses kuarantin di rumah.
Penganjur kejohanan Terbuka Australia berharap jaguh Britain tersebut kembali sihat, namun tidak pasti sama ada pemain berusia 33 tahun itu berpeluang untuk mengambil bahagian kerana kerajaan Australia mewajibkan kuarantin 14 hari kepada semua peserta mahupun penonton.
“Andy Murray disahkan positif Covid-19 dan diarahkan untuk menjalani kuarantin di kediamannya di United Kingdom.
“Jika Murray masih diuji positif dia mungkin tidak dapat mengikuti penerbangan khas ke Melbourne bersama pemain lain untuk menjalani kuarantin wajib yang ditetapkan oleh kerajaan Australia,” kata penganjur.
Lima kali juara Terbuka Australia tersebut membuat keputusan untuk menarik diri dalam kejohanan ATP di Delray Beach, Florida untuk memastikannya terhindar daripada sebarang jangkitan Covid-19 dan dapat beraksi pada Grand Slam kali ini.
Lebih 1,200 peserta dan staf akan tiba di Australia minggu ini dan perlu menjalani prosedur kuarantin wajib selama 14 hari sebelum saingan sebenar bermula pada 8 hingga 21 Februari depan. – AGENSI