MOSCOW – Dua kapal tangki membawa hampir 9,000 tan metrik bahan api mazut rosak dibadai ribut sebelum putus dua lalu karam, menyebabkan tumpahan minyak di Selat Kerch yang memisahkan Semenanjung Crimea dan Russia.
Agensi berita United Press International (UPI) melaporkan, kapal Volgoneft 212 terkandas dengan 13 anak kapalnya telah dipindahkan, manakala seorang kru maut.
Agensi pengangkutan laut dan air persekutuan Russia, Rosmorrechflot menyatakan, sebuah lagi kapal tangki, Volgoneft 239 turut rosak.
Kapal itu hanyut selama beberapa jam sebelum terkandas bersama 14 anak kapal.
Menurut Rosmorrechflot, pihaknya melancarkan dua siasatan jenayah.
Agensi berita Sputnik menyiarkan rakaman video oleh Pejabat Pendakwa Raya Pengangkutan Selatan Russia menunjukkan kapal tangki yang mengalami masalah itu.
Sebuah bot tunda, Merkuriy, telah dihantar dari Kerch untuk membantu menyelamatkan anak kapal, manakala helikopter Mi-8 milik Kementerian Situasi Kecemasan Russia dikerahkan bersama pasukan penyelamat.
Mazut digunakan dalam loji kuasa dan beberapa tujuan lain di negara-negara bekas Kesatuan Soviet dan Iran. – AGENSI