fbpx

Tahanan larikan diri empat hari dijel setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Alor Gajah, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

ALOR GAJAH – Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah melarikan diri daripada tahanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), bulan lalu.

Majistret Dr. Teoh Shu Yee membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Musliadi Arahman, 39, sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan tentangan dan halangan yang menyalahi undang-undang dengan cara melepaskan diri daripada jagaan pegawai pengiring JKDM yang mana tertuduh telah ditahan secara sah dibawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.10 pagi di perkarangan kompleks Mahkamah Alor Gajah dalam daerah Alor Gajah pada 25 November 2024.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak melarikan diri ke luar kawasan mahkamah dengan cara memanjat pagar ketika dalam jagaan pegawai pengiring JKDM.

Susulan itu, operasi mengesan tertuduh telah dijalankan dan berjaya ditangkap semula di dalam sebuah kawasan kebun durian di Melaka Pindah kira-kira tiga kilometer dari mahkamah.

Peguam Ishak Mohd. Kari yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan tertuduh terdesak melarikan diri kerana mendapat maklumat anak dan isterinya terlibat kemalangan di Aceh, Indonesia.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh jatuh hukum dan menasihatkan tertuduh mendapatkan bantuan kedutaan Indonesia jika mahu mengetahui keadaan keluarga berbanding melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI