JOHOR BAHRU – Seorang pembantu stor menitiskan air mata di dalam kandang tertuduh ketika pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, dua bulan lalu ke atasnya dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Muaz Saifullah, 23, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Lelaki itu kelihatan menitiskan air mata dan mengesat air matanya berkali-kali selepas pertuduhan pertama dibacakan dan memohon pertuduhan ke atasnya dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap kanak-kanak tersebut.
Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik tidur sebuah rumah antara pukul 7.30 pagi hingga 6.30 petang pada 30 Oktober lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.
Mangsa merupakan anak asuhan kepada ibu tertuduh dan tinggal di blok yang sama di kawasan perumahan tersebut.
Hakim menetapkan jaminan dikenakan berjumlah RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain tidak dibenarkan mengganggu dan menghampiri mangsa dan saksi pendakwaan pada jarak enam kilometer serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 Januari depan untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE