PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Perkara itu diumumkan Anwar pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Anwar berkata, pelantikan itu bagi membolehkan tokoh pemimpin itu berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu-isu ASEAN dan serantau.
“Lantikan Thaksin itu adalah atas dasar hubungan dua hala yang cemerlang antara Malaysia – Thailand.
“Oleh itu, saya setuju untuk melantik Thaksin sebagai penasihat peribadi saya (anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia).
“Beliau akan bersama dalam satu pasukan anggota dari negara-negara ASEAN dalam satu struktur tidak rasmi,” katanya.
Katanya, beliau berterima kasih kepada Thaksin kerana bersetuju dengan pelantikan itu sekali gus dapat memanfaatkan pengalaman negarawan berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, hubungan dua hala yang baik dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin yang berjaya menghasilkan banyak kemajuan bersama antara Malaysia – Thailand. – KOSMO! ONLINE