fbpx

Muhyiddin dapat penangguhan bersyarat, tapi kena bayar RM400,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng dan Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin diperintah untuk membayar RM400,000 kepada Pengerusi DAP Lim Guan Eng iaitu sebahagian bayaran ganti rugi saman fitnah.

Malah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga perlu membayar baki RM1 juta kepada Guan Eng sebelum atau pada 27 Januari depan.

Ia bersabit keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November lalu yang memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.4 juta kepada Guan Eng selepas didapati bertanggungjawab memfitnah.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Chetan Jethwani dan Guok Ngek Seong yang masing-masing mewakili Muhyiddin dan Guan Eng ketika ditemui media selepas prosiding dalam kamar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada prosiding melalui dalam kamar hari ini, Hakim Roz Mawar Rozain memberikan penangguhan bersyarat kepada Muhyiddin dengan memerintahkan beliau membayar RM400,000 sebelum 31 Disember ini dan baki ganti rugi terbabit sebelum 27 Januari tahun depan.

Pada 9 Disember lalu, Guan Eng mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Muhyiddin.

Ahli Parlimen Bagan itu selaku pemiutang penghakiman, memfailkan permohonan berkenaan melalui firma guaman Tetuan Guok Partnership, dengan menamakan Muhyiddin selaku penghutang penghakiman.

Ia bersabit keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November lalu yang memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan, selepas didapati bertanggungjawab memfitnah.

Tuntutan pembayaran Guan Eng seperti dalam permohonan itu membabitkan jumlah penghakiman RM1.35 juta, kos tindakan (RM50,000) dan alokatur (RM2,000).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan memohon untuk menggantungkan penghakiman itu, sementara menunggu rayuannya didengar dan dilupuskan.

Muhyiddin berkata, disebabkan jumlah terlibat adalah besar, memerlukannya untuk mengumpul amaun berkenaan.

Pada 8 November lalu, Roz Mawar mengeluarkan perintah supaya Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta ketika membenarkan tuntutan saman fitnah Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada sebuah yayasan.

Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI