fbpx

‘Jangan buang masa, lepaskan dan jangan zalimi saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIANA tidak lagi berpaling dan akan terus berteguh menuntut cerai daripada Farid terlaluy berangan dan gagal dalam setiap peluang yang diberikan untuk memperbaiki rumah tangga mereka selama ini.

KUALA LUMPUR –  “Berpijaklah di bumi yang nyata, lepaskan dan jangan zalimi saya lagi.”

Tegas dan tidak lagi berfikir dua kali, demikian antara pesanan ‘keras’ pelakon Diana Danielle muak dengan tindakan suaminya yang juga pelakon, Farid Kamil kerana masih lagi berkeras untuk tidak melafazkan cerai pada sebutan kali kedua tuntutan permohonan perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson, 34, mahu Farid sedar bahawa rumah tangga mereka sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

“Bagi saya, tindakan dia hari ini amat memualkan dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Dia berangan dan tiada apa untuk diselamatkan. 

“Bila saya sudah rujuk dengan dia selama setahun, bukankah itu satu peluang untuk berdamai dan perbaiki tetapi dia gagal melakukannya.

“Jadi, apa perlu saya lakukan sekarang, adakah terus berharap sedangkan Sudah terlalu banyak harapan diberi. Bagi saya, ini semua membuang masa kami berdua dan benda ini tidak akan kemana-mana kerana saya bulat hati mahukan perceraian ini berlaku,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.

Dalam masa itu, bintang filem Magika itu  sudah menjangkakan suaminya akan memanjangkan kes tuntutan perceraian mereka.

Ujarnya, memanjangkan lagi proses perceraian hanya membuang masa mereka berdua.

“Saya rasa dia perlu faham sudah tiba masa untuk lepaskan saya. Tiada alasan dan percubaan lagi. Berpijaklah di bumi yang nyata, lepaskan  dan jangan zalimi saya lagi.

“Saya rasa semua ini buang masa sebab tiada apa yang akan berubah malah hidup akan diteruskan seperti biasa. 

“Saya akan hadir ke mahkamah dan mahu mendapatkan apa yang saya mahu iaitu perceraian. Ceraikan saya, itu sahaja. Saya terima semua ini, tetapi kenapa dia mahu lakukan cara ini.

“Kalau boleh kita jangan terus tambah dosa. Benda sudah tidak lagi berjalan dengan baik, dan tidak adil pada antara satu sama lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Diana juga enggan memberi sebarang komen berhubung dua anaknya, Muhammad dan Nur Aurora.

Hari ini, mahkamah memerintah Diana dan Farid melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas aktor itu enggan menceraikan isterinya.

Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin memerintahkan demikian selepas Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 43, bertegas tidak mahu melafazkan cerai terhadap Diana pada sebutan kali kedua kes cerai mereka.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac 2025 untuk sebutan semula dan laporan JKP kedua-dua belah pihak.

Semasa prosiding, Diana diwakili peguam syarienya Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Farid diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan.

Sebelum ini, mahkamah sama telah mengesahkan rujuk yang dibuat pelakon Farid Kamil terhadap isterinya pada tahun lalu adalah sah.

Pada prosiding terdahulu, Akberdin memaklumkan tiada lagi persefahaman dan perbalahan yang panjang membuatkan Diana tekad memfailkan penceraian kali kedua terhadap suaminya itu pada 4 November lalu.

Terdahulu, Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian buat kali kedua menerusi perkongsian dalam Instagram Story.

Sebelum ini, pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari.

Ketika itu alasan yang diberikan adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Farid dan Diana kemudian sah bercerai talak satu menerusi aplikasi Google Meet pada 10 Ogos 2023, namun mereka rujuk sebulan kemudian.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora kini berusia sembilan tahun. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI