MERSING – Polis mengesahkan tiga mangsa yang maut dalam nahas melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 45, Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran simpang masuk Ladang Arami Jaya di sini semalam merupakan anak beranak.
Mangsa yang dikenali sebagai Md. Yusuf Mukhtar, 71, dan isterinya, Rosnah Salleh, 65 disahkan maut di lokasi, manakala anak mereka, Muhamad Izuddin, 36, meninggal dunia di Hospital Mersing.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan pada pukul 8.30 malam itu melibatkan kereta jenis Toyota Vios dan Proton Persona.
Katanya, siasatan awal mendapati Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah Kuantan menuju ke Johor Bahru dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Persona.
“Ekoran pelanggaran itu, pemandu Toyota Vios cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru. Pemandu Proton Persona iaitu lelaki berusia 36 tahun disahkan maut di Hospital Mersing akibat parah di kepala.
Dua penumpang iaitu pasangan suami isteri berusia 65 dan 71 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi. Seorang lagi penumpang iaitu anak pemandu Proton Persona dirawat di HSI. Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu stabil. – KOSMO! ONLINE