MERSING – Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan tragis melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Mersing-Kota Tinggi berhampiran simpang masuk Ladang Arami Jaya di sini malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Zainuddin Ahmad berkata, kejadian pada pukul 8.03 malam itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dan Proton Persona.
Menurutnya, pemandu Toyota Vios yang mengalami kecederaan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Di dalam kereta Proton Persona pula terdapat dua penumpang yang cedera iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang turut dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Malangnya, dua penumpang Proton Persona, seorang warga emas lelaki dan seorang wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.45 malam. – KOSMO! ONLINE