KAJANG – Sekumpulan 120 individu bukan sahaja dapat bermain golf, malah menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma ketika menyertai pertandingan Swing For Health anjuran Klinik Dr. Najwa di Kelab Golf Impian, di sini semalam.
Pengarahnya, Dr. Syarifah Najwa Syed Ahmad berkata, pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan memberi inspirasi dan memperkasakan setiap individu agar menjalani kehidupan lebih sihat sambil bersukan.
Katanya, kejohanan itu merupakan salah satu usaha mereka sejak bertahun lalu dengan menganjurkan program khidmat masyarakat yang menyediakan perkhidmatan, pendidikan dan kesedaran mengenai kesihatan.
“Kejohanan ini adalah contoh terbaik bagaimana aktiviti fizikal boleh digabungkan dengan hubungan sosial, mengingatkan kita semua bahawa kesejahteraan bukan sahaja tentang kesihatan fizikal tetapi juga tentang membina komuniti yang menyokong dan harmoni.
“Terima kasih kepada mereka yang terlibat dan pihak penaja yang memberikan dedikasi serta perancangan untuk menjayakan program ini. Kami antara klinik swasta yang pertama mengadakan pertandingan seumpama ini,” katanya.
Menurut Dr. Syarifah Najwa, antara pemeriksaan yang dijalankan ke atas pemain pada hari itu termasuk kolestrol, kandungan gula, asid urik dan sesi perbincangan bersama beliau dan Ketua Doktor Residen, Dr. Julia Adam Leong.
Klinik Dr. Najwa ditubuhkan pada 2013 dan mempunyai 11 cawangan di Lembah Klang termasuk di Putrajaya, Bangi, Kajang, Puchong dan Dengkil. Mereka menyediakan perkhidmatan profesional mengikut panduan perubatan terkini untuk semua golongan masyarakat.
Kejohanan itu menyediakan hadiah-hadiah menarik dengan sebuah televisyen pintar sebagai habuan cabutan bertuah utama di samping motosikal untuk Hole-in One. – KOSMO! ONLINE