KUALA LUMPUR – Sebuah kereta Mercedes Benz 450 musnah dalam kebakaran di Kilometer 18 Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai (SPE) sebelum Plaza Tol Wangsa Maju, di sini, tengah hari tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 1.38 tengah hari.
Katanya, seramai tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju dikerahkan ke tempat kejadian.
Menurut Komander Operasi, PBK II Nor Saiful Ibrahim, kebakaran terbabit telah mengakibatkan kereta itu musnah sepenuhnya.
“Kebakaran berlaku dibahagian enjin terbakar 100 peratus. Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.15 petang manakala punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik. – KOSMO! ONLINE