fbpx

Rapuh punca 3 Perdana Menteri dalam satu penggal – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid.

SEBERANG PERAI – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu gabungan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN menjadi penyumbang utama kepada Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jalinan hubungan yang baik dalam parti penting dalam usaha membentuk serta memperkuatkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita mahu melihat bahawa jalinan hubungan antara UMNO, MCA, MIC dan rakan-rakan dalam Friends of BN tetap menjadi penyumbang utama kepada Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Malaysia pada hari ini.

“Jalinan hubungan baik ini penting kerana kita tidak mahu seperti penggal yang lalu bahawa kerajaan yang ditubuhkan itu terlalu rapuh.

“Kerapuhan itu menyebabkan tiga Perdana Menteri dalam satu penggal. Insya-Allah dengan dokongan Barisan Nasional serta rakan-rakan lain di dalam Kerajaan Perpaduan, kerajaan ini akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 nanti,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Pulau Pinang 2024 di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat banyak cabaran yang dihadapi sama ada di luar mahupun secara dalaman.

“Kita tahu, di luar sana pasti ada cabaran, di dalaman juga pasti ada permasalahan. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan, tidak ada cabaran di luar yang tidak boleh kita selesaikan.

“Segala-galanya memerlukan kebijaksanaan Perdana Menteri Malaysia. Kita berikan dokongan kepada beliau untuk pemimpin negara ini, insya-Allah.

“Beliau anak Pulau Pinang. Orang Pulau Pinang harus berbangga walaupun beliau bertanding di negeri saya, di Tambu. Tidak apa, insya-Allah kita harap beliau akan balik ke Permatang Pauh untuk menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh,” tambahnya.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (ketika itu) pada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 20 Ogos 2021.

Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 16 Ogos 2021.

Sebelum itu, pentadbiran kerajaan dipacu oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memegang jawatan Perdana Menteri Interim selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 24 Februari 2020. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI