fbpx

Pesilat usia 15 tahun bawa semangat arwah ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARRIZ

PESILAT muda negara, Harriz Naufal Md. Fadly yang bakal membuat penampilan pertama pada Kejuaraan Dunia Pencak Silat 2024 di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu bermula 18 Disember ini membawa misi peribadi yang penuh emosi selepas kehilangan ibu tercinta, Sabarilah Long baru-baru ini.

Hariz yang baru berusia 15 tahun mengakui berita pemergian ibunya yang disahkan meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru memberi satu tamparan hebat, namun pesanan terakhir ibunya supaya membawa pulang pingat menjadi suntikan semangat untuk berjuang di pentas dunia.

“Masa dapat tahu mak meninggal, memang rasa ‘down’ sangat. Tapi saya tahu dia mahu saya berjaya di Abu Dhabi nanti.

“Dia pesan, ‘jangan putus semangat, bawa balik medal (pingat) untuk mak.’ Itu kata-kata terakhir yang akan saya ingat sepanjang hidup saya,” ujar Harriz.

Kali terakhir pesilat kelahiran Segamat, Johor itu bertemu ibunya adalah pada minggu lalu sebelum menjalani latihan intensif dan dia sempat mengucup dan memeluk ibunya tanpa menyangka itu adalah pertemuan terakhir mereka.

“Mak nampak sihat waktu itu. Kami sempat buat solat hajat bersama sebelum saya kembali ke pusat latihan.

“Masa saya dapat panggilan tentang pemergian mak, saya baru selesai sesi latihan. Dalam perjalanan pulang, saya tak henti menangis. Kehilangan ini memang sangat berat,” tambahnya.

Meskipun dilanda kesedihan, Harriz nekad untuk memberikan yang terbaik di Abu Dhabi selain percaya perjuangannya di gelanggang adalah cara untuk memenuhi impian ibunya.

“Saya tahu ini bukan mudah tapi saya akan cuba sebaik mungkin. Saya tak boleh janji emas tapi saya akan berjuang hingga akhir. Kalau dapat medal, saya nak tunjukkan di kubur mak. Itu janji saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI