MAINZ – Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich dikejutkan dengan kekalahan pertama Bundesliga musim ini selepas tunduk 2-1 di tangan Mainz di Arena MEWA awal pagi semalam hasil dua jaringan sensasi pemain Korea Selatan, Lee Jae-sung.
Jae-sung membuka tirai jaringan empat minit sebelum tamat babak pertama apabila memanfaatkan kesilapan pertahanan Bayern yang dilihat tidak berfungsi dengan baik sepanjang perlawanan.
Pemain tengah berusia 32 tahun itu sekali lagi menambah luka buat pasukan pelawat apabila menggandakan jaringan pada minit ke-60 menerusi gerakan cantik di dalam kotak penalti.
Kekalahan itu memberikan tamparan hebat buat jurulatih Bayern, Vincent Kompany yang sebelum ini tidak pernah kalah dalam 13 perlawanan liga pertamanya sejak mengambil alih pasukan tersebut awal musim ini.
“Kami bermain menentang pasukan yang penuh semangat dan tidak pernah berhenti berjuang. Daripada pihak kami, tiada kekurangan usaha tetapi hari ini kami tidak berada pada tahap terbaik,” kata Kompany.
Meskipun kecewa, Kompany kekal optimis dan menjadikan kekalahan itu sebagai pembakar semangat untuk perlawanan seterusnya.
“Perlawanan ini sudah selesai. Kini, tumpuan kami adalah untuk memberikan reaksi yang betul pada minggu depan,” tambahnya.
Bayern kekal di puncak liga dengan 33 mata, empat mata di depan Bayer Leverkusen yang menang 2-0 ke atas Augsburg dan kekalahan tersebut menjadi amaran buat Kompany dan anak-anak buahnya agar lebih berhati-hati dalam perlawanan akan datang. – AGENSI