LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta kecewa pasukannya sekali lagi tercicir dua mata penting apabila sekadar mampu terikat tanpa jaringan dengan Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates kelmarin.
The Gunners kini sudah enam kali tercicir mata gara-gara seri sekali gus menyaksikan peluang mereka untuk mengejar pendahulu EPL, Liverpool tampak makin sukar apatah lagi lawan masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Seminggu selepas gagal mengutip mata penuh di Fulham, Arsenal terpaksa akur kekal di kedudukan ketiga dan ketinggalan satu mata di belakang Chelsea yang berada di tangga kedua.
“Kami sangat kecewa kerana tidak memenangi perlawanan. Jika ada pasukan yang berhak menang, ia pastinya Arsenal.
“Kami sudah melakukan apa yang sepatutnya tetapi cuma gagal menjaringkan gol. Tidak ada apa yang kurang, menguasai permainan, tidak membenarkan mereka berlari dan tidak memberikan lawan set piece.
“Kami mencipta tiga atau empat peluang keemasan tetapi gagal disempurnakan. Kami sudah bermain dengan bagus tetapi malangnya gagal berakhir dengan kemenangan,” kata Arteta.
Dalam masa sama, Arteta turut mempertahankan tindakannya mengeluarkan kapten, Martin Odegaard yang tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi disebabkan beliau mahu menyuntik kelainan dalam usaha menjaringkan gol.
Sebagai rekod, Arsenal menguasai 76 peratus permainan serta menghasilkan 13 percubaan tetapi gagal menemui sasaran menentang Everton yang lebih banyak bertahan dan hanya melakukan dua percubaan sepanjang perlawanan. – AGENSI