LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot tidak boleh meminta sesuatu yang lebih lagi daripada para pemainnya ketika seri 2-2 dengan Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield kelmarin.
Ketika menang 1-0 ke atas Girona di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) minggu lalu, Slot nyata tidak berpuas hati tetapi kali ini beliau mengagumi semangat pemainnya yang masih mampu melawan walaupun terpaksa mengharungi tempoh lebih satu jam dengan 10 orang.
“Saya fikir situasi kali ini cukup berbeza berbanding perlawanan menentang Girona. Ketika itu saya gembira kami menang, namun tidak dari segi prestasi secara keseluruhan.
“Sekarang saya gembira dengan prestasi pasukan dan saya tidak boleh minta lebih lagi. Apabila kami hilang mata di tempat sendiri, sudah pasti ia tidak seperti yang diharapkan.
“Banyak perkara tidak berpihak kepada kami dalam aksi ini kecuali persembahan pemain dan sorakan serta sokongan penyokong kami begitu luar biasa,” katanya.
Pada perlawanan itu, The Reds hilang seorang pemain ekoran layangan kad merah kepada Andy Robertson, namun menyerlahkan sikap positif apabila dua kali mempamer kebangkitan.
Fulham dua kali mendahului menerusi Andreas Pereira dan Rodrigo Muniz tetapi Liverpool membuktikan kualiti hebat mereka apabila jaringan Cody Gakpo serta Diogo Jota memastikan mereka terus bernyawa biarpun bermain tanpa seorang pemain.
Sebagai rekod, Liverpool kekal di puncak liga menerusi 36 mata yang mana jurang itu semakin mengecil dengan pasukan tempat kedua dan ketiga, namun mereka masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.