DISEBALIK kekecewaan tewas 0-1 kepada Thailand di Bangkok kelmarin, pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mahu kekal bersikap positif mengenai peluang Malaysia mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2024.
Berdasarkan persembahan dijelmakan pemain pada aksi di Stadium Rajamangala itu, Pau Marti tetap berbangga dengan aksi anak-anak buahnya yang disifatkan sudah memenuhi tuntutan untuk melepasi saingan kumpulan.
“Saya gembira dan bangga dengan pemain serta cara kami beraksi pada perlawanan kali ini. Saya fikir kami sudah tunjukkan kepada semua orang prestasi kami ini agak menyenangkan.
“Ini adalah pertandingan tetapi kita masih mempunyai satu lagi peluang untuk bermain dan saya rasa semua peluang masih terbuka.
“Jika kami bermain seperti ditunjukkan kali ini, kami begitu dekat untuk mendapatkan keputusan baik pada perlawanan terakhir,” katanya.
Sepanjang perlawanan, pemain berjaya memberikan tentangan kepada tuan rumah di mana Thailand hanya memperoleh peluang menerusi Patrik Gustavsson hasil kesilapan penjaga gol negara, Haziq Nadzli.
Pau Marti juga enggan menuding jari kepada Haziq yang disifatkan sudah menyerlahkan prestasi baik dan penjaga gol itu tidak wajar dikritik secara berlebihan.
“Kesilapan daripada penjaga gol pastinya akan menghukum pasukan, namun Haziq sudah mempamerkan aksi yang baik. Tiada siapa yang lebih kecewa selain daripadanya dan kita tidak boleh salahkan siapapun.
“Kita hanya perlu sokong dia, pastikan dia tidak terlalu kecewa dan mampu untuk tenangkan dirinya,” katanya.