fbpx

Stara ubah pola pembelajaran murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUl ATIEKA (duduk, tengah) bersama murid dan ibu bapa pada Majlis Anugerah Cemerlang Stara yang mengiktiraf pencapaian akademik murid di sini, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pekerja bank tidak menyesal meninggalkan kerjaya makan gaji untuk membina empayarnya sendiri yang memfokuskan kepada bidang pendidikan kerana mahu melihat generasi masa depan memiliki ilmu yang mencukupi, khususnya memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik.

Beliau yakin apabila seseorang individu mendapat ilmu dan pendidikan yang baik sehingga ke peringkat tertinggi, dia mampu mengubah kehidupan keluarga pada masa depan.

Itu impian Pengasas Stara, Nurul Atieka Mohamad Zahari, 34, yang memiliki misi besar untuk membantu melengkapkan anak-anak terutamanya murid sekolah rendah dengan sahsiah diri yang tinggi, selain menjadi lebih berkeyakinan.

Stara adalah pusat tuisyen secara online sepenuhnya yang kini menjadi pilihan ibu bapa serta murid sekolah rendah dan telah membantu lebih daripada 25,000 murid bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga berjaya meningkatkan keberanian mereka.

“Saya bukannya seorang guru sebelum ini atau memiliki latar belakang dalam bidang pendidikan, tetapi saya mewujudkan Stara untuk menghimpunkan guru-guru yang bagus untuk menawarkan pendidikan berkualiti, katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Cemerlang Stara, dekat sini baru-baru ini.

Seramai 150 murid dari seluruh negara diraikan dalam maj­lis berkenaan dan menerima anugerah mengikut pencapaian masing-masing.

Nurul Atieka berkata, perjalanannya bertitik tolak daripada faktor pandemik yang memaksa semua pelajar tidak kira di menara gading, hinggalah kepada si cilik di taska memulakan konsep pembelajaran dari rumah menggunakan platform media sosial.

Uwais Ashraf Abdul Rahman (kiri) dan Qaseh Raudah Mohd. Azhar merupakan dua murid cemerlang Stara tahun ini.

Wabak maut itu memaksa pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan serta pihak berkepen­tingan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pembelajaran secara online, dan sehingga kini ia terus diamalkan dalam pelbagai segmen pendidikan di negara ini.

Mengambil peluang daripada kebiasaan masyarakat masa kini serta kesediaan ibu bapa mene­rima pakai konsep belajar secara online di rumah, maka lahirlah Stara pada tahun 2022.

Nurul Atieka memberitahu, bagi tahun 2024, seramai 3,000 pelajar dari tahun satu hingga enam kini aktif menimba ilmu di pusat tuisyen tersebut, yang mana majoriti mereka terdiri daripada pelajar tahun lima dan tahun enam.

Menurut wanita berasal dari Lanchang, Pahang itu, pihaknya menawarkan pakej pembelajaran yang terdiri daripada Elite, Premier dan VIP, melibatkan lima mata pelajaran iaitu matematik, sains, bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan pendidikan Islam.

Jelasnya, yuran yang dikenakan adalah antara RM149 dan RM299 sebulan, yang mana pelajar mendapat manfaat daripada 20 sesi pembelajaran setiap sebulan, serta akses kepada video rakaman kelas tanpa had.

Pusat tuisyen tersebut memiliki 15 tenaga pengajar yang terdiri daripada bekas guru sekolah dan juga pensyarah universiti.

Kelas berlangsung dari hari Isnin hingga Khamis antara pukul 8 malam dan 9 malam, dan dari 9 malam hingga 10 malam.

“Keunikan Stara berbanding pusat tuisyen lain adalah dari aspek cara penyampaian tutor, sebagai contoh kami memfokuskan kepada soalan yang menggalakkan murid berfikir di luar kotak pemikiran mereka.

“Mereka juga banyak diajar secara visual memandangkan fokus kanak-kanak biasanya lebih kurang berbanding orang dewasa.

“Jadi untuk tarik minat mereka belajar dalam tempoh sejam, kaedah yang kami gunakan adalah menggunakan gambar dan mainkan video yang membantu kefahaman mereka tentang sesuatu subjek,” katanya.

Nurul Atieka membina Stara sejak tahun 2022.

Nurul Atieka menerangkan, pihaknya buat masa ini lebih memfokuskan kepada pendidikan sekolah rendah dan mahu terus menambah baik perkhidmatan untuk menjadi pusat tui­syen online yang menjadi pilihan ibu bapa dan murid di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi dalam industri pendidikan, khususnya tuisyen online adalah kesukaran kanak-kanak untuk memberi tumpuan ketika belajar, selain komen negatif dalam ruangan pembelajaran di platform online.

Sehubungan itu, pusat tuisyen yang boleh dilayari melalui laman facebook rasminya Stara itu, memiliki kumpulan dalaman khusus untuk memantau komen-komen yang mengganggu agar murid-murid boleh memfokuskan kepada pelajaran masing-masing.

Berhubung perkembangan terbaharu syarikat untuk tahun 2025, Nurul Atieka menjelaskan Stara telah menerima pendaftaran lebih 1,000 murid, dan lebih daripada 50 peratus daripada murid Stara setiap tahun adalah pendaftaran berulang. -KOSMO! ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI