SANDAKAN – Seorang lelaki warga asing maut disambar buaya dalam kejadian di kawasan setinggan pembuangan sampah, Batu 8 kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy berkata, mangsa berusia 28 tahun dalam perjalanan ke rumah abangnya dengan melalui jambatan kayu dalam kejadian sekitar pukul 8.20 malam itu.
“Hasil siasatan awal polis mendapati ketika dalam perjalanan melalui jambatan kayu berkenaan mangsa disambar oleh seekor buaya. Mangsa sempat menjerit dan meminta pertolongan.
“Mayat mangsa ditemui oleh ahli keluarganya kira-kira dua meter dari lokasi kejadian hari yang sama pada pukul 9.30 malam. Terdapat kesan gigitan buaya di beberapa bahagian tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.-KOSMO! ONLINE