SEOUL – Protes besar-besaran di Seoul bagi menentang dan menyokong Presiden Yoon Suk-yeol dijangka berterusan dalam usaha penduduk untuk memberi tekanan kepada Mahkamah Perlembagaan, demikian menurut penganalisis politik.
“Mereka yang memihak kepada penyingkiran Suk-yeol mungkin akan berhimpun di Dataran Gwanghwamun berhampiran Mahkamah Perlembagaan,” kata pengasas bersama kumpulan pemikir politik Valid, Bae Kang-hoon.
Penunjuk perasaan di kedua-dua pihak memberitahu AFP bahawa mereka akan terus turun ke jalan-jalan sehingga mahkamah mengeluarkan keputusannya.
“Saya pasti akan melakukan protes di mahkamah bagi menuntut ia menolak pemecatan tersebut,” kata seorang penyokong Suk-yeol, Cho Hee-sun kepada AFP pada demonstrasi semalam.
Bagi seorang penentang Suk-yeol, Kim Cho-rong, dia menggesa agar ahli Parlimen mendakwa presiden itu serta berkata: “Saya akan terus berada di jalan untuk beberapa minggu akan datang agar suara saya didengari oleh hakim.”
Suk-yeol dipecat semalam kerana cubaan singkat beliau untuk menguatkuasakan undang-undang darurat tentera, menyebabkan Korea Selatan kini berada di bawah pentadbiran kerajaan interim.
Susulan pemecatan Suk-yeol, Perdana Menteri Han Duck-soo memikul tanggungjawab sebagai pemangku presiden sehingga Mahkamah Perlembagaan membuat keputusan sama ada mengekalkan atau menolak pemecatan tersebut.
Sementara itu, agensi berita Yonhap melaporkan, Suk-yeol berikrar untuk melakukan yang terbaik demi negaranya sehingga waktu-waktu terakhir, sejurus selepas Parlimen meluluskan usul pemecatan tersebut.
“Walaupun saya perlu berhenti seketika, perjalanan saya untuk masa depan bersama rakyat sejak dua tahun setengah lalu tidak sepatutnya terhenti,” kata beliau. – AFP/AGENSI