NILAI – Klinik Dr. Ana dan Dr. Ana Wellness & Spa (Klinik Dr Ana) sedang menyusun strategi jangka panjang untuk menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia bertujuan untuk mengukuhkan lagi imej syarikat sekali gus mengembangkan syarikat ke peringkat yang lebih meluas.
Pengasas syarikat, Dr. Fatin Amira berkata, bagi mencapai misi tersebut, pihaknya kini aktif meluaskan rangkaian pengoperasian serta kliniknya di seluruh negara.
Lebih menarik lagi, syarikat juga mahu membuka dan juga bercadang untuk memperkenalkan klinik pergigian dan farmasi di bawah jenama Dr. Ana pada masa depan.
“Melangkah ke hadapan, kami mempunyai visi besar untuk menjadi peneraju dalam industri kesihatan dan kesejahteraan di negara ini,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran klinik terbaharunya di sini baru-baru ini.
Ini adalah pembukaan cawangan kesebelas Klinik Dr Ana dan memilih Nilai kerana ia merupakan kawasan yang pesat membangun dengan komuniti yang dinamik.
Jelas Fatin, Nilai juga terletak di lokasi strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan dan Putrajaya, menjadikannya destinasi yang ideal untuk memperluaskan jenama syarikat.
“ Dengan hab membeli-belah terkenal seperti Nilai 3 dan AEON Mall, kuasa beli di kawasan ini cukup tinggi, memberi peluang kepada kami untuk menyediakan perkhidmatan yang relevan dengan keperluan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran klinik terbaharu Dr Ana di sini baru-baru ini.
Fatin menerangkan, langkah pembukaan cawangan baharu tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan jenama berkenaan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan berkualiti tinggi kepada masyarakat.
Sementara itu, rakan setugas di klinik berkenaan, Dr. Sharifah Najwa menjelaskan, Klinik Dr Ana juga bercadang untuk melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan seperti Kempen Kesedaran Kesihatan, Pemeriksaan kesihatan percuma dan ceramah kesihatan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan.
“Kami juga akan menganjurkan Bengkel Pemakanan dan Analisis Kulit Percuma yang mana ia adalah untuk membantu masyarakat memahami keperluan tubuh badan mereka dengan lebih mendalam, seterusnya memilih rawatan atau langkah pencegahan yang sesuai.
“Kami mahu memastikan kehadiran kami di Nilai membawa impak positif kepada komuniti. Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penjagaan kesihatan holistik,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE