fbpx

Berdebar jantung aksi Sze Fei-Izzuddin ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SZE FEI (kanan) dan Izzuddin enam kali menafikan kemenangan Fajar-Rian sebelum memastikan kemaraan ke pentas final WTF 2024. - AFP

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani enam kali berada di ambang penyingkiran sebelum melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China.

Pada perlawanan separuh akhir di Gimnasium Olimpik Hangzhou sebentar tadi, gandingan No.7 dunia itu melakukan kebangkitan dramatik sebelum menewaskan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 17-21, 21-16, 27-25 dalam tempoh 81 minit.

Kemenangan tersebut menyaksikan beregu yang terkenal dengan julukan DinFei itu mengiringi satu lagi wakil negara, iaitu beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ke perlawanan akhir esok.

Juara Terbuka China itu boleh dianggap terselamat daripada ‘maut’ apabila Fajar-Rian enam kali berada di mata akhir pada set ketiga, namun mereka tidak mudah mengaku kalah apabila terus-menerus menyamakan kedudukan sebelum melengkapkan kemenangan bersejarah itu.

“Satu perlawanan yang cukup sengit dan kredit kepada penonton yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kami. Kami hanya bermain seperti biasa dan terus mencuba pada perlawanan itu.

“Kami mengharungi musim yang cukup hebat tahun ini tetapi perjuangan masih belum selesai kerana kami perlu memberikan sepenuh fokus untuk perlawanan (akhir) esok,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebagai rekod, WTF 2024 merupakan penampilan pertama Sze Fei-Izzuddin pada kejohanan penutup kalendar Jelajah Dunia BWF itu dan ia membawa tuah buat mereka apabila menjadi beregu lelaki pertama negara ke pentas final.

Menjelang aksi final esok, Sze Fei-Izzuddin akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dan satu lagi wakil Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI