SUNGAI PETANI – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu hanya mahu mengutamakan ahli yang setia berbanding mereka yang meninggalkan parti kerana kepentingan peribadi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan juga pada masa sama tidak patut mengambil ahli dalam kalangan rakan gabungan yang membentuk kerajaan ketika ini.
“Kerajaan Perpaduan telah menunjukkan keserasian yang diterjemahkan dengan baik. Saya menghormati rakan-rakan parti lain, tapi parti lain tolong hormat Barisan Nasional (BN), tolong hormat UMNO yang jadi tulang belakang kepada kerajaan Perpaduan
“Kalau ada kepentingan peribadi, kalau ada kepentingan individu `go to hell’ dengan kepentingan peribadi `go to hell’ dengan kepentingan individu. UMNO lebih utamakan orang yang ada kesetiaan daripada orang yang pandai tapi tidak taat setia,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Kedah di Bedong, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN berkeyakinan untuk merampas semula Kedah yang ketika ini ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) berikutan kekuatan yang dimiliki BN ketika ini.
“Kita melihat Kedah sebagai ‘swing state’ begitu juga Terengganu dan Perlis, ‘swing’ bermaka boleh berubah kerajaan, kita dalam keadaan ladung jam berada di bawah tetapi ia tidak akan berada di bawah jika dikunci,” katanya. – KOSMO! ONLINE