NAMA Elica Paujin mungkin tidak segah bintang lain di persada seni, namun kredibilitinya sebagai penyanyi berbakat besar tidak boleh dinafikan.
Pernah mengejutkan ramai dengan vokal merdu diiringi penampilan memikat, namun perjalanan untuk menyerlah di pentas arus perdana ibarat meniti gentian kaca, perlahan dan terlalu berhati-hati dan sunyi daripada keriuhan.
Bermula sebagai peserta variasi pertandingan, Elica pernah ‘menyala’ menerusi Mentor Milenia 2017, Stariser: Mencari Bintang Nusantara dan Big Stage musim keempat (2022).
Berkat tuah, kelebihan bakat dan vokal, anak jati Negeri Di Bawah Bayu itu diangkat sebagai juara bagi ketiga-tiga program realiti pertandingan tersebut.
Begitupun, kejayaan hasil titisan air mata serta keringat itu masih tidak mampu menjulang namanya berdiri gah sebaris dengan rakan seangkatan lain.
Bagai merangkak, ramai mendakwa dirinya terkena badi juara, fenomena yang sering menghantui pemenang program realiti, apabila peserta lain yang bukan juara lebih dikenali ramai dan memacu sukses.
Tolak badi
Memahami hakikat kejayaan di pentas pertandingan tidak menjamin laluan mudah dalam industri muzik tanah air, pemilik nama sebenar Angelica Paujin itu enggan berundur sebelum kalah.
“Gelaran juara memang satu pencapaian besar dan saya bersyukur, tetapi kejayaan sebenar bergantung pada usaha dan konsistensi.
“Saya percaya, biarpun lambat naik, asalkan terus berkarya, kejayaan pasti datang pada waktu tepat.
“Industri ini tidak pernah mudah malah penuh cabaran, namun semangat saya tidak pernah pudar kerana ini adalah minat dan cinta saya,” katanya kepada Pose.
Mengakui kariernya bergerak perlahan, Elica tidak menafikan industri muzik merupakan medan yang penuh dengan ketidaktentuan namun setiap kali munculnya keraguan, dia mengambil masa untuk refleksi diri dan mencari inspirasi baharu.
“Industri seni tidak pernah menjanjikan jalan yang lurus, tapi minat terhadap muzik menjadi penguat semangat untuk terus melangkah.
“Setiap kali hati mula goyah, saya ingatkan diri bahawa ini adalah perjalanan saya sendiri. Sokongan daripada keluarga dan peminat juga memainkan peranan besar dalam mengembalikan keyakinan saya untuk terus maju ke hadapan,” luahnya.
Biarpun langkahnya mungkin lebih perlahan berbanding teman seperjuangan lain, Elica tidak menganggap semua itu kelemahan sebaliknya percaya, setiap detik adalah proses membentuk diri menjadi seorang bintang yang benar-benar bersinar.
“Keberhasilan bukan sekadar tentang kelajuan, tetapi bagaimana kita meniti setiap anak tangga dengan usaha dan kesungguhan.
“Perjalanan seni ini adalah tentang mencipta karya yang bermakna dan meninggalkan impak positif kepada orang lain.
“Saya percaya, selagi tidak berhenti berusaha, lambat atau cepat, kejayaan tetap milik saya,” katanya penuh yakin.
Jadi perbandingan
Masih dalam konteks karier, wanita Dusun itu tidak dapat lari daripada kecaman dan menjadi bahan perbandingan dengan penyanyi seperjuangannya, seperti Aisha Retno.
Mana tidaknya, Aisha yang hanya bergelar finalis Big Stage sudah menjejakkan kaki ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) terlebih dahulu berbanding dirinya pemegang status juara.
Enggan melatah terus dibandingkan, penyanyi berusia 25 tahun itu tidak pernah berasa terpinggir, malah percaya setiap artis lahir dengan ‘garis masa’ berbeza.
“Perbandingan tidak dapat dielakkan. Setiap artis membawa warna tersendiri dalam industri. Saya hormati semua artis, termasuk Aisha Retno. Dia berbakat besar dan kejayaannya menginspirasikan saya.
“Namun, saya percaya setiap orang ada masa untuk bersinar. Lambat atau cepat bukan ukuran, apa yang penting ialah konsistensi dalam berkarya,” ujarnya.
Impian menggunung
Terus berusaha keras, Elica mengakui merangka pelbagai perancangan termasuk karya baharu, impian ke pentas AJL dan konsert solo.
Pelantun lagu Oh Hominodun beranggapan pentas AJL bukan sekadar impian, tetapi sebuah matlamat besar dalam perjalanan seninya.
“AJL adalah pentas impian saya. Bagi saya, kejayaan di pentas seperti itu bukan sekadar trofi, tetapi simbol perjuangan seorang artis yang tidak pernah menyerah. Walaupun belum berpeluang, saya tidak akan berputus asa.
“Apa yang penting, terus berkarya dan menghasilkan karya berkualiti yang mampu menyentuh hati pendengar,” tuturnya.
Selain itu, impian terbesarnya juga adalah untuk menjayakan sebuah konsert solo berskala besar di Semenanjung Malaysia.
Pernah menganjurkan konsert solo di Sabah, Elica juga ingin memberikan pengalaman istimewa kepada peminat di kawasan lain pula.
“Konsert solo di Sabah menjadi satu momen terindah dalam kerjaya saya. Itu pengalaman yang sangat bermakna, namun impian saya adalah untuk mengembangkan sayap ke Semenanjung pula.
“Ramai peminat menyuarakan hasrat untuk melihat saya beraksi di sini, tetapi saya tidak mahu tergesa-gesa.
“Kena rancang dengan teliti, saya ingin pastikan setiap aspek, daripada konsep persembahan hingga susunan muzik, benar-benar memberikan memori istimewa kepada peminat,” tutupnya.