SEJARAH tercipta pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China apabila beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi wakil Malaysia pertama layak ke perlawanan akhir.
Pada aksi separuh akhir di Gimnasium Olimpik Hangzhou semalam, pasangan No. 8 dunia itu menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menerusi keputusan 21-15, 21-12.
Kejayaan ke final menyaksikan Tang Jie-Ee Wei sudah memastikan AS$100,000 (RM445,000) dalam genggaman menjelang pertemuan menentang wakil tuan rumah yang juga juara Sukan Olimpik Paris 2024, Zheng Siwei-Huang Yaqiong.
Tang Jie berkata, perasaannya bercampur-baur dengan kemenangan itu, namun dia dan Ee Wei sedia untuk menenangkan diri selain membuat percaturan terbaik menjelang perlawanan akhir hari ini.
“Kami berdepan banyak emosi ketika ini tetapi kami cuba bertenang dan hanya memberikan fokus pada perlawanan akhir esok (hari ini). Walaupun Soon Huat cedera tetapi kami tetap mengikut perancangan.
“Bagi perlawanan akhir esok (hari ini), ia bakal menjadi aksi terakhir Siwei kerana dia akan bersara. Oleh itu, saya berbangga dan gembira dapat bermain menentangnya,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam.
Ini adalah penampilan kedua Tang Jie-Ee Wei di Jelajah Dunia Akhir selepas debut tahun lalu menyaksikan mereka terkandas di peringkat kumpulan.
Ee Wei pula mengakui berdepan tentangan sengit daripada Soon Huat-Shevon selain menganggap pasangan suami isteri itu banyak memberi tunjuk ajar kepada mereka.
“Memang tidak mudah bertemu sesama sendiri kerana tahu permainan masing-masing. Mereka juga adalah senior dan kami banyak belajar daripada mereka. Kami hanya bagi yang terbaik di dalam gelanggang,” ujarnya.
Sekiranya berjaya melakar sejarah dengan memenangi kejohanan hari ini, Tang Jie-Ee Wei bakal membawa pulang hadiah wang tunai hampir RM1 juta iaitu AS$210,000 (RM934,500).