KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 warga asing termasuk pengurus syarikat warga Bangladesh ditahan dalam serbuan di sebuah kilang menjahit pakaian di Cheras, di sini pada 11 Disember lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pengurus syarikat berusia 46 tahun itu dipercayai menggaji warga asing secara tidak sah.
Operasi bermula pada pukul 9.15 malam itu disertai pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Berdasarkan aduan awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi digerakkan ke lokasi dan kita berjaya menahan pengurus syarikat warga Bangladesh kerana disyaki menggaji warga asing secara tidak sah.
“Selain itu, seramai 34 lelaki Bangladesh dan 15 wanita Myanmar dipercayai bekerja sebagai tukang jahit di premis tersebut ditahan. Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 60 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan operasi merampas sebanyak 40 keping kad perakam waktu dan peralatan menjahit. Katanya, syarikat tersebut juga dipercayai beroperasi sejak dua tahun lepas.
“Kesemua warga asing itu ditahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Mereka dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut, manakala pengurus syarikat ditahan di bawah Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” katanya. -KOSMO! ONLINE.