KUANTAN – Berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit, kedai eksesori telefon, dan pusat memancing udang namun sebenarnya menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen, 10 premis di sekitar daerah ini menerima padah apabila bekalan elektrik premis tersebut dipotong dalam Op Dadu yang dijalankan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kesemua premis berkenaan digempur dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, operasi berkenaan dijalankan bermula pada 12 Disember lalu sehingga hari ini di mana tindakan berkenaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (pindaan 2001).
“Dalam operasi hari ini 10 premis yang telah kita laksanakan pemotongan bekalan elektrik terdiri dari kawasan Kempadang, Sungai Soi, Sungai Isap, Balok dan juga Gambang.
“Selain menawarkan aktiviti perjudian, mereka turut menjalankan aktiviti menjual tambah nilai judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen.
“Premis yang telah dijalankan pemotongan bekalan elektrik ini adalah merupakan kes-kes yang telah dituduh dan dijatuh hukum di mahkamah.
“Ia juga bagi memastikan mereka ini tidak akan lagi menjalankan aktiviti-aktiviti perjudian ini di masa akan datang,” katanya dalam sidang media yang diadakan di sebuah premis di Sungai Soi, di sini, hari ini.
Katanya lagi, dalam tempoh tahun ini, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah dan jugak pihak Polis Daerah Kuantan telah melakukan serbuan ke atas 106 buah premis dan telah melakukan tangkapan ke atas 126 individu dengan sebahagiannya merupakan warga asing.
Daripada jumlah itu katanya, pihak polis telah membuat sebanyak 33 permohonan kepada pihak TNB untuk melakukan pemotongan bekalan elektrik.
“Dan setakat ini kita telah menerima kelulusan sebanyak 13 buah premis dengan 10 darinya telah dijalankan pemotongan bekalan elektrik dan bebaki lagi tiga buah akan dilaksanakan pemotongan tersebut dalam tempoh terdekat.
“Dari semakan yang kita buat juga, premis-premis yang kita laksanakan pemotongan ini tidak pagi beroperasi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.