KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warga Bangladesh yang menjadi dalang utama sindiket pemerdagangan manusia melibatkan rakan senegara tumpas dalam operasi khas di tiga lokasi sekitar Cheras, di sini pada 11 November lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, risikan dijalankan selama dua minggu itu membawa kepada penahanaan suspek berusia 35 hingga 38 tahun.
Katanya, operasi pada pukul 9.11 malam itu disertai pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Berdasarkan risikan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke premis tersebut dan berjaya menahan tiga lelaki Bangladesh disyaki ‘dalang utama’.
“Kita turut menahan warga Bangladesh dipercayai pasangan kepada ‘dalang utama’ berusia 32 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pasukan operasi berjaya menyelamatkan 11 lelaki Bangladesh dipercayai mangsa eksploitasi berusia 30 hingga 38 tahun.
Turut dirampas 17 pasport Bangladesh, 20 buah telefon bimbit, wang RM800 dan AS$800, kereta jenis Proton Gen2 dan Proton X70.
“Suspek berperanan sebagai penjaga premis dan kita percaya sindiket ini beroperasi selama tiga bulan.
“Modus operandi mereka adalah membawa masuk rakan senegara yang ingin mencari pekerjaan di negara ini sebagai pelancong melalui pintu masuk udara dan segala urusan pasport, visa dan tiket penerbangan diuruskan oleh sindiket.
“Seterusnya, mangsa akan dibawa dan ditempatkan di ‘rumah transit’ dengan bayaran RM15,000 seorang dan tambahan RM5,000 seorang sekiranya mangsa mahu keluar dari ‘rumah transit’ berkenaan,” katanya.
Katanya, suspek ditahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat untuk tujuan dokumentasi.
“Imigresen akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta ATIPSOM,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.