fbpx

Pemandu rentung langgar tiang LRT mungkin anak pemilik kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu kereta Honda Accord rentung dalam kebakaran dan disahkan maut di lokasi kejadian. - Foto PDRM

PETALING JAYA – Polis mengambil keterangan pemilik kereta jenis Honda Accord yang terbakar menyebabkan pemandunya rentung selepas kemalangan di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke ibu negara di sini pada Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya sudah memperoleh butiran pemilik kenderaan itu dan mengambil keterangan individu tersebut.

“Berdasarkan keterangan, pemilik kereta mengesyaki mangsa adalah anaknya yang dikatakan memandu Honda Accord tersebut ketika kejadian.

“Bagaimanapun, pengesahan identiti mangsa tidak dapat diberikan sehingga laporan pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut M. Hussin, laporan DNA tersebut dijangka siap satu atau dua minggu lagi.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang pemandu kereta maut selepas Honda Accord yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang LRT di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke ibu negara pagi Khamis lalu.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.20 pagi. Pemeriksaan mendapati pemandu kereta terbakar di seluruh badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi berkenaan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI