PETALING JAYA – Sindrom Cyclopia yang menyebabkan bayi dilahirkan dengan satu mata dan tanpa hidung sering kali disalah tafsir sebagai sumpahan atau kepercayaan karut.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM), cyclopia berlaku apabila otak janin gagal membahagi kepada dua hemisfera yang turut mempengaruhi pembentukan wajah.
“Bayi dengan kondisi ini biasanya tidak mempunyai hidung dan kerap kali disertai kecacatan lain seperti masalah jantung, ginjal, atau organ dalaman, menjadikannya tidak sesuai untuk hidup,” kata PHM menerusi hantaran di Facebook.
Cyclopia berpunca daripada gabungan faktor genetik dan persekitaran seperti mutasi genetik, kecacatan kromosom, diabetes ibu yang tidak terkawal, kekurangan asid folik, serta pendedahan kepada bahan toksik semasa kehamilan.
Cyclopia boleh dikesan melalui ultrasound terperinci seawal usia kandungan 11 hingga 14 minggu. Namun, stigma masyarakat terhadap kondisi ini menambah beban emosi kepada ibu bapa yang terlibat.
PHM turut menegaskan bahawa tanggapan seperti terkena ‘kenan’ atau sumpahan adalah khurafat yang tidak berasas.
“Cyclopia adalah fenomena perubatan yang disebabkan faktor genetik dan biologi, bukan akibat makanan seperti nanas atau kepercayaan karut,” jelas PHM.
Bagi mencegah risiko kecacatan kelahiran, PHM menasihatkan agar ibu hamil memastikan pengambilan asid folik yang mencukupi sebelum dan semasa kehamilan, selain mengawal penyakit seperti diabetes.
Kesedaran tentang cyclopia diharap dapat menghapuskan stigma terhadap ibu bapa yang terkesan dan menyokong usaha meningkatkan kesihatan ibu serta janin. – KOSMO! ONLINE.