SEGAMAT – Kebanyakan rumah mangsa banjir di Kampung Seberang Batu Badak, di sini ‘dijadikan’ pusat pemindahan sementara (PPS) bagi sekumpulan monyet.
Seorang penduduk, Roslim Mohamad, 44, berkata, kediamannnya antara 10 buah rumah yang kerap diganggu haiwan liar itu selepas semua penduduk berpindah ke PPS pada pukul 7 pagi minggu lalu.
“Saya terkejut melihat rumah kami dijadikan PPS oleh monyet. Semasa saya pulang untuk periksa keadaan rumah, saya beri salah kerana menyangka ada orang di dalam selepas terdengar bunyi pinggan.
“Sebaik pintu dibuka, saya terkejut apabila ada beberapa ekor monyet berada di atas rak pinggan seperti sedang ‘berkemas’ untuk ke PPS. Bagaimanapun, haiwan itu tidak bertindak agresif termasuk menyerang saya. Saya segera mendapatkan bantuan daripada jiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Tambah Roslim, bumbung beberapa kediaman penduduk juga rosak dipercayai akibat perbuatan haiwan liar itu yang cuba membuka untuk mencari jalan masuk bagi mendapatkan makanan.
“Penduduk sudah berdepan ‘onar’ monyet sejak enam tahun lalu dan ia bagaikan tiada berkesudahan walaupun Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) Segamat sudah beberapa kali menghalau dan memindahkan haiwan itu ke habitat asal,” katanya. -KOSMO! ONLINE.