PETALING JAYA – Datasonic Group Berhad (Datasonic) bakal menjadi peneraju dalam pasaran identiti fizikal melalui cadangan pelan transformasi yang diumumkan syarikat semalam.
Menurut Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic, Datuk Hanifah Noordin, melalui inisiatif tersebut, syarikat akan muncul dengan memiliki ekosistem pengurusan identiti berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan berpusatkan digital, yang akan membolehkannya menyediakan penyelesaian identiti dan keselamatan menyeluruh yang lengkap dan selamat untuk kerajaan dan perusahaan.
Jelas beliau, bagi menyokong pelan transformasi yang dicadangkan, Datasonic berhasrat untuk melaksanakan pelaburan strategik yang akan meluaskan kehadiran pasaran Kumpulan, meningkatkan portfolio produk dan perkhidmatan Kumpulan serta memesatkan aktiviti kajian dan pembangunan (R&D) dalamannya.
“Ini disokong oleh pelaksanaan untuk mengumpul sehingga RM554.95 juta melalui terbitan bonus sehingga 1.55 bilion waran atas dasar satu waran untuk setiap dua saham yang dipegang oleh pemegang saham.
“Transformasi Kumpulan kami akan menyelaraskan visi kami dengan permintaan dunia yang mengutamakan digital (digital-first) yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Hanifah menerangkan, melalui memanfaatkan teknologi generasi akan datang seperti AI, pihak menyediakan syarikat untuk memainkan peranan penting dalam inisiatif transformasi digital negara seperti MyDigital ID.
“Ini memastikan kami kekal di barisan hadapan dalam menyampaikan nilai kepada pihak berkepentingan kami dan menyokong aspirasi ekonomi digital Malaysia.
“Transformasi yang dirancang ini akan memanfaatkan rekod operasi cemerlang dan kepelbagaian keupayaan kami yang semakin berkembang untuk meningkatkan prospek pertumbuhan Kumpulan dengan ketara dan mewujudkan organisasi yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan.
“Akhirnya, ia juga akan menyediakan platform untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk pendigitalan di kalangan kerajaan antarabangsa,serta penerokaan Kumpulan ke sektor komersial, membuka peluang pasaran baharu di Malaysia dan juga di seluruh dunia,” ujarnya.
Langkah pertama dalam transformasi Kumpulan ialah cadangan pengambilalihan 51 peratus kepentingan ekuiti dalam Innov8tif Holdings Sdn Bhd (Innov8tif), perintis dalam jaminan identiti digital dipacu AI dan penyelesaian onboarding pelanggan, pada harga RM40 juta.
Teknologi Innov8tif, termasuk e-KYC, pengecaman wajah secara langsung, pengesahan dokumen, dan pengesanan penipuan, telah disampaikan merentasi portfolio pelanggan yang luas di negara ASEAN termasuk syarikat tersenarai awam, bank dan biro kredit.
Selain itu, sebagai sebahagian daripada pelan transformasi yang dicadangkan, Kumpulan telah menukar jawatan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Puvanesan Subenthiran kepada Pengarah Eksekutif berkuat kuasa serta-merta.
Puvanesan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan pengasas bersama Privasia Technology Berhad, sebuah syarikat teknologi maklumat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun dalam perancangan strategik, penggabungan dan pengambilalihan, dan akan mengetuai strategi teknologi Kumpulan.
Selain itu, selaras dengan pelan transformasi Kumpulan yang dirancang, Datasonic juga telah mencadangkan agar nama syarikat ditukar kepada NexG Berhad.
Perubahan nama ini akan mencerminkan hasrat Kumpulan untuk menjadi peneraju dalam penyepaduan teknologi generasi akan datang, seperti AI, merentasi aplikasi kerajaan dan komersial. -KOSMO! ONLINE