fbpx

WTF 2024: Aaron-Wooi Yik kempunan ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (kiri) dan Wooi Yik terus kempunan untuk ke separuh akhir WTF selepas tersingkir di peringkat kumpulan buat kali kelima. - AFP

KUALA LUMPUR – Percubaan kali kelima beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk melangkah ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 tidak tertunai selepas tersingkir di peringkat kumpulan.

Pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B di Gimnasium Olimpik Hangzhou, China sebentar tadi, bekas juara dunia itu yang hanya perlu menang satu set, tewas 16-21, 16-21 kepada beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Pasangan lawan yang memerlukan kemenangan straight set menampilkan aksi cukup bertenaga selain memaksa Aaron-Wooi Yik melakukan banyak kesilapan mudah sebelum memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati.

Hasil keputusan itu, Aaron-Wooi Yik menamatkan kempen kali ini di kedudukan ketiga Kumpulan B, manakala Sabar Karyaman-Moh Reza muncul naib juara mengiringi rakan sepasukan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto selaku juara ke separuh akhir.

Terdahulu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu hampir pasti melangkah ke separuh akhir menerusi dua kemenangan ke atas Fajar-Rian serta wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

Bagaimanapun, keputusan Ji Ting-Xiang Yu menarik diri daripada kejohanan menyebabkan kemenangan Aaron-Wooi Yik dibatalkan, sekali gus memerlukan mereka menang sekurang-kurangnya satu set ke atas Sabar Karyaman-Moh Reza.

Menerusi penyingkiran Aaron-Wooi Yik, Malaysia kini hanya memiliki tiga wakil di pusingan separuh akhir termasuk beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Sebagai rekod, ini merupakan penampilan kelima pasangan No.5 dunia itu di WTF termasuk pada kempen 2019, 2020, 2022 dan 2023 dengan menyaksikan mereka tersingkir di peringkat kumpulan dalam kelima-lima edisi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI