PETALING JAYA – Selangor FC enggan terlalu selesa meskipun sudah meletakkan sebelah kaki ke separuh akhir Piala Cabaran selepas membenam Kelantan Darul Naim (KDN) FC 5-1 dalam aksi suku akhir pertama semalam.
Pengendali Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi mengingatkan agar barisan pemain terus memberikan tumpuan penuh kerana masih ada baki 90 minit perlawanan di suku akhir kedua nanti.
“Saya puas hati dengan kemenangan yang diraih pasukan, tetapi pemain tetap kena fokus untuk aksi seterusnya (timbal balik) bagi memastikan Selangor mara ke separuh akhir,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad Gergasi Merah berjaya meraih gol menerusi ledakan Ronnie Fernandez (dua gol), Mukhairi Ajmal (dua gol) dan Quentin Cheng.
Skuad Selangor dilihat terdesak untuk melangkah sejauh mungkin selepas tersingkir awal pada kempen Piala Malaysia dan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL2) musim ini.
Ini kerana kejohanan rasmi anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu menjanjikan trofi sekali gus memastikan potensi Selangor untuk menamatkan kemarau piala yang kali terakhir dimenangi pada 2015. – KOSMO! ONLINE