KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Lim Guan Eng memfailkan afidavit jawapan bagi membantah permohonan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangguhkan bayaran ganti rugi RM1.35 juta kerana memfitnah tahun lalu.
Guan Eng, 64, selaku plaintif memfailkan afidavit itu di Mahkamah Tinggi di sini semalam menerusi Tetuan Guok Partnership, dengan menamakan Muhyiddin, 77, sebagai defendan.
Berdasarkan affidavit jawapan yang dikemukakan, Guag Eng berkata dakwaan Muhyiddin dengan menyatakan kadar yang perlu dilunaskan sebagai ‘jumlah yang besar’ bukan salah satu keadaan khas untuk penggantungan.
Guan Eng berkata, sebelum pemfailan dokumen kebankrapan, beliau sudah memberikan peluang kepada Muhyiddin untuk membayar jumlah penghakiman, kos, dan alokatur.
Katanya, beliau percaya telah memberikan masa yang mencukupi dan munasabah kepada defendan, iaitu kira-kira 10 hari (tujuh hari berdasarkan surat peguam saya bertarikh 27 November lalu dan tambahan 2 hari lagi berdasarkan surat peguam saya bertarikh 4 Disember).
“Bagaimanapun, defendan enggan mematuhi tuntutan saya dan oleh itu saya mengarahkan peguam saya untuk memfailkan Notis Kebankrapan pada 9 Disember 2024. Sesalinan Notis Kebankrapan yang belum dimeterai telah diserahkan kepada peguam defendan melalui e-mel dan secara serahan tangan pada
10 Disember lalu.
“Saya dengan sesungguhnya menyatakan bahawa notis dan masa yang mencukupi telah diberikan kepada defendan untuk mematuhi penghakiman.
“Saya dengan sesungguhnya menyatakan bahawa notis dan masa yang mencukupi telah diberikan kepada defendan untuk mematuhi penghakiman. Mahkamah dalam alasan penghakiman menyatakan jumlah penghakiman perlu dibayar dengan “segera”, bagaimanapun defendan masih gagal berbuat demikian,” katanya.
Afidavit lanjut turut menyatakan defendan yang merupakan bekas Perdana Menteri dan ahli politik terkemuka negara, harus menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat, dengan mematuhi keputusan mahkamah.
Pada 9 Disember lalu, Guan Eng mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Muhyiddin.
Guan Eng selaku pemiutang penghakiman, memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Guok Partnership, dengan menamakan Muhyiddin selaku penghutang penghakiman.
Ia bersabit keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November lalu yang memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada Guan Eng selepas didapati bertanggungjawab memfitnah.
Tuntutan pembayaran Guan Eng seperti dalam permohonan itu membabitkan jumlah penghakiman RM1.35 juta, kos tindakan (RM50,000) dan alokatur (RM2,000).
Sebelum ini, Muhyiddin memohon untuk menggantungkan penghakiman itu, sementara menunggu rayuannya didengar dan dilupuskan.
Muhyiddin berkata, disebabkan jumlah terlibat adalah besar, memerlukannya untuk mengumpul amaun berkenaan.
Pada 8 November lalu Hakim Roz Mawar Rozain mengeluarkan perintah supaya Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta ketika membenarkan tuntutan saman fitnah Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada sebuah yayasan.
Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil. – KOSMO! ONLINE