WAKIL tunggal negara, Selangor Red Giants (SRG) bersedia untuk menghadapi cabaran getir menentang Team Spirit pada aksi separuh akhir lower bracket Kejohanan Dunia Mobile Legends M6 di Axiata Arena petang ini.
Pada aksi suku akhir, Rabu lalu, SRG menampilkan aksi luar biasa apabila bangkit menewaskan jaguh Indonesia, RRQ Hoshi dengan kemenangan 3-1.
Kejayaan itu bukan sahaja membuktikan kemampuan strategi mereka tetapi juga ketahanan mental yang kukuh untuk bangkit mencipta magis tersendiri.
Bintang SRG, Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman dengan gelaran permainannya, Sekys berkata, mereka telah bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan tersebut dan berharap kemenangan lalu mampu meningkatkan semangat pasukan.
“Kami tahu Team Spirit bukan lawan yang mudah. Namun, kami sudah bersiap dengan strategi lebih mantap untuk perlawanan ini. Kami akan memberi segala-galanya memastikan tempat di final,” katanya.
Saingan M6 kali ini menampilkan pasukan terbaik dari seluruh dunia dan kini menjadi tumpuan peminat e-Sukan kerana kejohanan tersebut menawarkan hadiah wang tunai terkumpul sebanyak AS$1 juta (RM4.45 juta).
Aksi SRG di pentas Axiata Arena bakal menjadi perhatian peminat tempatan untuk hadir menyaksikan perlawanan hidup mati pasukan negara untuk memburu slot final.
Bagi Sekys, jika dahulu mereka sedikit gugup beraksi di hadapan ribuan penyokong, namun kini berbeza apabila SRG mampu mengawal tekanan, apatah lagi berkelebihan selaku tuan rumah.
“Sebenarnya untuk saya secara peribadi, beraksi di hadapan ribuan penyokong sedikit tertekan tetapi selepas pengalaman lalu, saya kini semakin biasa dengan keadaan tersebut,” ujarnya.
Sekiranya SRG berjaya mengatasi Team Spirit, mereka akan berdepan Team Liquid ID untuk merebut slot ke Grand Finals.