LUMUT – Sebanyak 14 buah vesel penangkapan ikan ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan rampasan bernilai RM8.9 juta di perairan Perak sepanjang Op Tunda dilaksanakan Jabatan Perikanan negeri bermula 9 Disember sehingga hari ini.
Jabatan Perikanan negeri berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan menerusi Unit Pemantauan, Pengawalan dan Pengawasan (MCS) Kg. Acheh dengan kerjasama Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan Putrajaya.
Katanya, penumpuan operasi itu melibatkan pelanggaran Akta Perikanan 1985 dan syarat lesen dan pemeriksaan kepatuhan ke atas vesel penangkapan ikan tempatan yang dilesenkan di bawah Jabatan Perikanan.
“Sebanyak 14 buah vesel penangkapan ikan ditahan kerana melanggar Akta Perikanan 1985. Rampasan melibatkan sebuah vesel pukat jerut, sembilan vesel pukat tunda (B1), dua vesel peranti pengumpul ikan dan dua vesel rawa surong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi melibatkan 30 anggota diketuai Mohamad Nur Hakim Abdullah daripada Cawangan MCS, Bahagian Konservasi & Perlindungan Perikanan, Putrajaya dan lima aset Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (CKOPP) Kg. Acheh dan CKOPP Kuala Kurau.
Antara kesalahan dikenal pasti seperti menangkap ikan menggunakan vesel penangkapan ikan tempatan tanpa lesen, mengupah kru asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan menangkap ikan kurang dari 27.78 kilometer mengikut zon.
“Kesemua vesel dan tahanan dibawa ke pangkalan CKOPP Kg Acheh untuk siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE