KUALA LUMPUR – Kempen #TabikWiraKita inisiatif Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menjadi anjuran Kementerian Pertahanan serta bertujuan meningkatkan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia, mendapat sambutan apabila pengguna media sosial ‘berlumba-lumba’ berkongsi pelbagai video kreatif menonjolkan semangat cintakan negara.
Bukan itu sahaja, kempen yang mengajak orang ramai menghargai jasa wira-wira negara turut dijadikan sebagai peluang untuk mengingati sumbangan dan jerih perih mereka yang bermati-matian memastikan keamanan dan kesejahteraan Malaysia.
Ia bertemakan patriotisme dan hubungan sosial bertujuan meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap peranan dan sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ternyata kempen tersebut membuahkan pencapaian apabila #TabikWiraKita berjaya meraih tontonan di media sosial lebih 6.6 juta orang, dengan hasil kolaborasi bersama 28 pempengaruh termasuk selebriti Fattah Amin.
Tiga pemenang utama turut dipilih dengan tempat pertama membawa pulang hadiah RM6,000, diikuti RM4,000 untuk tempat kedua, manakala RM2,000 bagi tempat ketiga disampaikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab. Rahman pada Majlis Penyampaian Hadiah Kepada Pemenang #TabikWiraKita di Kementerian Pertahanan di sini, semalam.
Pemenang tempat pertama adalah peserta dari Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Depot, Kuala Lumpur terdiri daripada guru, Muhammad Rashide Roziman dan tiga murid tahun empat yang mengambil masa dua hari untuk menyiapkan video bermesejkan penghargaan kepada ATM.
Berkongsi di sebalik penghasilan video tersebut, Muhammad Rashide berkata, niat asalnya adalah bagi mencari dana untuk mewujudkan Studio TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) sekali gus manfaat kepada warga sekolah.
“Pada asalnya, sekolah kami mengadakan program merdeka secara besar-besaran dengan tema ialah ketenteraan. Apabila terlihat kempen #TabikWiraKita, jadi alang-alang kami sertai sekali.
“Murid-murid ini dipilih untuk berlakon dalam video tersebut. Niat asal untuk menyertai kempen ini juga kerana sebagai guru media PSS, perancangan ialah mahu ada Studio TV PSS.
“Ini platform kita boleh mencari wang tunai untuk digunakan mengumpul dana yang mana ikut perancangan, kira-kira RM10,000 diperlukan bagi memberi peralatan termasuk kamera dan sebagainya,” katanya
Ujarnya, wang tunai yang diterima itu selain diperuntukkan untuk pusat sumber dan studio berkenaan, ia turut diberikan kepada tiga murid tersebut sekali gus sebagai penghargaan atas usaha mereka.
Murid SK Polis Depot, Nur Afifa Fatiya Lokmannul Hakim, 10, berkata, dia dan rakan-rakan tidak menyangka video lakonan mereka hasil idea daripada guru diumumkan sebagai pemenang utama.
“Sangat gembira dan teruja, tak sangka boleh menang. Kami bersyukur,” katanya.
Pemenang tempat kedua pula dimenangi oleh jururawat Klinik Kesihatan Pasir Panjang, Nurul Syuhada Omar, 36, menerusi video dihasilkannya yang turut dilakonkan oleh suami, Mohd. Hasmizan Hashim, 39, serta anak mereka, Muhammad Harith Hijazzi, 11, dan Muhammad Harraz Hanania, 9.
Kata Mohd. Hasmizan, penghasilan video bagi kempen #TabikWiraKita juga didorong daripada kisah bapanya yang merupakan pesara tentera.
“Ayah saya pernah berkhidmat sewaktu misi di Bosnia dan sering berkongsi ceritanya dalam bidang ketenteraan kepada dua anak saya. Selain itu, saya sekeluarga pernah menonton filem MALBATT: Misi Bakara dan ia juga dijadikan inspirasi untuk video pada kempen ini.
“Hadiah ini bagi saya rezeki anak-anak dan mungkin ia boleh diperuntukkan untuk membeli kelengkapan untuk video seterusnya bagi dimuat naik pada TikTok,” katanya.
Tambahnya, video yang dilakonkan oleh anak-anaknya juga disifatkan penghargaan kepada datuk mereka selain wira-wira negara lain sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia.
Pemenang tempat ketiga, Muhammad Aniq Qawiem Mohamad Sazaly, 24, yang juga pengusaha syarikat penulisan dan penyiaran berkata, dia memperoleh idea menghasilkan video untuk kempen tersebut selepas menonton video daripada Fattah.
“Ia jadi dorongan kepada saya untuk menghasilkan video bagi penghargaan kepada tentera. Saya bersama adik ambil masa dua hari untuk rakaman dan sebagainya, yang mana kami ke Port Dickson menziarahi pusara arwah moyang yang juga bekas tentera.
“Saya pujuk nenek untuk berlakon sekali dan dia setuju, sepupu juga berlakon sama,” katanya.
Sementara itu, Fattah berkata, sepanjang kolaborasi bersama Kementerian Pertahanan bagi kempen #TabikWiraKita, ia membuka matanya bahawa bukan mudah untuk seseorang itu menceburi bidang ketenteraan.
“Pengalaman tak boleh saya lupakan pertama kali untuk saya dan kebanyakan influencer lain, di dalam kem ia begitu teratur dengan kawalan seketatnya. Pukul 7 pagi anggota ini berkumpul, kami juga ikut latihan bersama.
“Dalam kem itu sendiri, saya nampak mereka berlatih dengan latihan yang sangat ‘intense’ kerana mereka ini tentera, bakal perwira negara dengan latihan yang berat membuatkan saya kagum.
“Sedangkan saya baru dua hari di sana (kem Port Dickson) untuk penggambaran video rasmi bagi kempen ini,” katanya.
Ujarnya lagi, kempen #TabikWiraKita disifatkan berjaya dan beliau berharap ia diteruskan pada masa akan datang sekali gus meningkatkan patriotisme dan menghargai wira-wira negara.
Kempen #TabikWiraKita mencapai kejayaan luar biasa, dengan hasil pulangan (ROI) melebihi jangkaan yang ditetapkan, dengan angka capaian melebihi lebih daripada RM56 juta, berbanding sasaran asal yang hanya RM10 juta hingga RM15 juta.
Ia jelas menunjukkan impak yang besar dan kesan positif luar biasa, bahkan kejayaan ini tidak hanya menunjukkan keberkesanan strategi yang diterapkan, tetapi memperlihatkan sokongan kuat daripada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan kempen tersebut. – KOSMO! ONLINE