TUMPAT – Imam Tua Masjid As Solihin Mukim Bendang Pak Yong tidak dapat menahan sebak semasa membacakan doa akhir solat Jumaat hari ini sebagai tanda kesyukuran apabila masjid tersebut kembali dipenuhi jemaah.
Anuar Daud yang menyampaikan khutbah bertajuk ‘Sabar Menghadapi Bencana’ menitiskan air mata selepas dua minggu berturut-turut masjid itu tidak dapat melaksanakan solat Jumaat ekoran bencana banjir.
Anuar berkata, dia bersyukur apabila solat Jumaat dapat dilaksanakan dan hampir 300 jemaah hadir semalam sama seperti sebelum ini.
“Dua kali solat Jumaat tidak dapat dilakukan akibat banjir. Ruang masjid ditenggelami air dua minggu lalu. Minggu lalu, jemaah tidak cukup 40 orang kerana ramai penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Ketika itu, kami hanya menunaikan solat zuhur di masjid ini,” katanya ditemui pemberita di Masjid As Solihin hari ini.
Anuar memberitahu, penduduk tidak perlu menaiki bot atau sampan untuk menunaikan solat Jumaat hari ini kerana jalan perhubungan sudah boleh dilalui kenderaan.
Tambahnya, pengisian khutbah solat Jumaat hari ini juga mengingatkan jemaah supaya tabah dalam menghadapi ujian Allah SWT dan segera bertaubat.- KOSMO! ONLINE