KUALA LUMPUR – Kegiatan tujuh warga asing mengoperasikan sindiket parkir haram di sekitar Jalan Bukit Bintang, di sini, terbongkar apabila ditahan sepasukan polis, semalam.
Serbuan yang bermula pukul 10 malam itu dilakukan sepasukan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Op Parkir Haram itu berjaya menahan tujuh lelaki warga India berusia lingkungan 36 hingga 55 tahun.
Katanya, pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM445 yang dipercayai hasil daripada aktiviti parkir haram.
“Kesemua tangkapan dibuat di empat lokasi berasingan sekitar kawasan berkenaan.
“Siasatan mendapati kegiatan parkir haram ini dipercayai dilakukan secara bersindiket dan mengenakan caj sekitar RM10 hingga RM15 terhadap setiap kenderaan.
“Mereka akan melambai tangan ke arah kenderaan untuk menawarkan parkir sebelum mengenakan bayaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kesemua tangkapan dibawa ke JSPT Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE.