KUALA LUMPUR – Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menamatkan kempen pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 tanpa sebarang kemenangan selepas tewas dalam aksi terakhir Kumpulan A.
Pada perlawanan yang berlangsung di Hangzhou, China hari ini, pasangan No.6 dunia itu memberikan tentangan sengit kepada wakil tuan rumah, Liu Sheng Shu-Tan Ning sebelum tewas 9-21, 21-18, 18-21.
Keputusan itu menyaksikan mereka terpaksa meninggalkan gelanggang pertandingan dengan tiga kekalahan selepas turut tewas kepada beregu Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida serta Treesa Jolly-Gayatri Gopichand dari India.
Pearly-Thinaah memulakan perlawanan hari ini dengan langkah longlai apabila tewas mudah 9-21 di set pertama sebelum bangkit memenangi set kedua, namun terpaksa akur tewas 18-21 pada set penentuan meskipun sudah memberikan tentangan sengit.
Sebagai rekod, bekas juara Terbuka Perancis itu mengulangi pencapaian sama seperti dua penampilan sebelum ini, iaitu pada 2021 dan 2022 di mana mereka gagal meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati. – KOSMO! ONLINE