GEORGE TOWN – Tiga buah premis makanan diarah memberhentikan operasi dengan serta-merta susulan penemuan najis tikus dan lipas di bahagian dapur serta stor penyimpanan makanan semalam.
Arahan tersebut dikeluarkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi Operasi Penutupan Premis Berlesen dan Tidak Berlesen/Warga Asing dan Establisymen Makanan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di Facebook MBPP, ketiga-tiga premis makanan tersebut diarah tutup operasi selama 14 hari berkuat kuasa semalam.
“Ini kerana keadaan kebersihan premis terutamanya bahagian dapur kurang memuaskan dan tidak mencapai piawaian yang ditetapkan oleh MBPP.
“Dalam pemeriksaan di bahagian dapur dan stor penyimpanan makanan, pegawai Jabatan Pelesenan turut menemui najis tikus dan lipas.
“Peralatan perangkap minyak (grease trap) juga didapati rosak dan tidak berfungsi dengan baik.
Terdapat juga premis makanan yang membenarkan pelanggan merokok di dalam premis makanan mereka,” katanya di sini, hari ini.
Dalam operasi tersebut juga, sebanyak 13 Notis Tawaran Kompaun (NTK) telah dikeluarkan berdasarkan pelbagai kesalahan.
Antaranya adalah Mempamerkan Iklan Tanpa Lesen (dua NTK), Tidak Menjalani Pemeriksaan Doktor (tujuh NTK), Tidak mengambil langkah-langkah sesuai untuk elak makanan tercemar (dua NTK), Meletak makanan mentah kurang dari 20cm dari paras lantai (satu NTK) dan Menggunakan Bungkus Yang Tidak Bersih/ Bercetak Untuk Membungkus Makanan (satu NTK).
“Pemantauan dan pemeriksaan mengejut ke semua premis-premis makanan di bahagian pulau, Pulau Pinang akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan premis sentiasa bersih dan mencapai piawaian pemarkahan yang telah ditetapkan.
“Selain daripada memberi khidmat nasihat kepada para peniaga tentang aspek kebersihan, para pegawai MBPP juga memberi peringatan tentangan larangan penggunaan penyedut minuman plastik (straw) di semua premis-premis makanan dan minuman yang berkuat kuasa 1 Oktober 2024,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE